8 Februari 2014, berakhir sudah program yang terbesar bagi
Seketariat Mahasiswa Perak (SEMARAK UTM). UTM Aspirasiku telah
berlangsung selama 4 hari 3 malam di Universiti Teknologi Malaysia.
Seramai 30 orang pelajar dari 4 buah sekolah menengah Daerah Hulu
Perak telah dipilih. Program ini berlangsung pada 5 hingga 8 Februari
2014. Program dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar pada
8 Februari 2014.
Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memperkenalkan
UTM kepada para peserta, menyalurkan sebanyak mungkin maklumat berkaitan
UTM, memberitahu kelebihan-kelebihan yang akan diperolehi oleh mereka
sekiranya menyambung pelajaran di sini, memberikan motivasi,
memperkenalkan beberapa teknik bagi meningkatkan keupayaan kendiri dan
pembelajaran para peserta, serta membantu para peserta untuk memilih kerjaya
pada masa hadapan berdasarkan kelebihan diri masing-masing.
Berpusat di Pusat Latihan UTM Johor Bahru, aktiviti yang
dijalankan sepanjang program UTM Aspirasiku ini telah memberi peluang kepada
para peserta untuk melihat, menggunakan serta merasai sendiri pengalaman berada
dalam sebuah universiti yang mempunyai prasarana pembelajaran bertaraf
antarabangsa, penginapan yang selesa, serta kemudahan rekreasi di sebuah kampus
yang berkonsepkan eko. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi latihan dalam
kumpulan, eco-race, halaqah isu semasa, Teknik Perbincangan dan Mencapai
Resolusi Menerusi Peta Minda, Teknik Pengaktifkan Otak Kanan, Teknik Pengurusan
Masa dan Kepimpinan, Teknik Merancang Kerjaya, Ujian SDS Kerjaya, lawatan ke
fakulti-fakulti, Perpustakaan Sultanah Zanariah, Stadium, Pusat Inovasi UTM
dan para peserta juga dibawa melawat ke pusat bandar Johor Bahru,
Nusajaya, Puteri Harbour, Legoland serta Johor Premium Outlet..
Program yang mendapat penajaan Badan Amal dan Kebajikan
Isteri-isteri Wakil Rakyat Perak (BAIDURI), Yayasan Perak, Majlis
Agama Islam Perak, Galeri Ilmu, dan Ar-Rayyan, telah mendapat
dokongan dan sokongan yang kuat daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Hulu
Perak dan Persatuan Guru Kaunseling Daerah Hulu Perak. Jutaan terima kasih
diucapkan kepada para penaja.
Selain itu, program ini mendapat sokongan dan bantuan
daripada mahasiswa dari Terengganu, Selangor, Kelantan, dan Johor. Usaha
membimbing para peserta tidak terhenti di UTM sahaja, usaha ini akan diteruskan
melalui kaedah mentor-mentee. Para fasi akan berterusan memberikan bimbingan
dan sokongan kepada para peserta menerusi platform media sosial Facebook. Oleh
itu, kita akan dapat memastikan kumpulan pelajar ini akan terus mendapat
bimbingan hingga suatu hari nanti mereka mendaftar sebagai salah seorang
mahasiswa UTM.
Riadah di Tasik Ilmu UTM |
Majlis Perasmian Oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar |
Lawatan ke Perpustakaan Sultanah Zanariah, PSZ UTM |